'Bukan sekadar salur wang'

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Woman: girls) berharap inisiatif kerajaan untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga bukan sekadar menyalurkan wang semata-mata.

Presidennya, Low Ngai Yuen berkata, aspek lain yang perlu diberi keutamaan adalah meningkatkan kemahiran menjana pendapatan agar golongan berkenaan boleh berdikari memulakan kehidupan baharu.

Katanya, ia termasuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan kemahiran pengurusan wang.

“Ia satu permulaan yang saya anggap sangat bagus tetapi kerajaan perlu memudahkan proses menyalurkan bantuan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Ngai Yuen berkata, selain kemahiran mereka juga memerlukan tempat perlindungan dan kemudahan yang lain.

Ujarnya, wanita yang menjadi mangsa perlu berasa selamat semula setelah melalui fasa sulit dalam rumah tangga.

“Mereka memerlukan tempat perlindungan yang selamat bersama anak-anak kerana itu yang menjadi keutamaan apabila mangsa membuat keputusan untuk menyelamatkan diri.

“Kemudahan kenderaan dan bantuan modal perlu difikirkan sekiranya kerajaan serius membantu wanita yang teraniaya,” jelasnya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Tabung Kasih Rahmah bagi membantu golongan wanita yang memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Tambah Ngai Yuen, penyertaan golongan korporat juga perlu diberi galakan sebagai tanda menyokong usaha kerajaan membantu golongan wanita.

“Saya merasakan dengan penyertaan badan korporat mampu menyediakan peluang pekerjaan dan kemahiran kepada mereka untuk mula berdikari,” ujarnya.