PM lulus RM1 juta bantu mangsa keganasan rumah tangga

Anwar (empat, kanan) bergambar bersama lima penerima Anugerah Kasih pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar (empat, kanan) bergambar bersama lima penerima Anugerah Kasih pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Tabung Kasih Rahmah bagi membantu golongan wanita yang memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"KPWKM mohon kerajaan berikan peruntukan kecil supaya (mereka yang memerlukan) dapat diberikan bantuan segera, (jadi) saya luluskan peruntukan RM1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda di sini, pada Rabu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Anwar menjelaskan, beliau sentiasa prihatin dengan nasib golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan dan teraniaya.

Malah, Anwar menegaskan, ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, beliau turut berusaha memastikan nasib golongan itu terbela.

"Saya ada pengalaman dulu ketika saya Timbalan Perdana Menteri, persatuan wanita bertemu saya dan mengeluh kerana ketika itu mahkamah-mahkamah syariah dan pejabat kadi kurang melahirkan rasa simpati terhadap kegelisahan mereka.

"Katanya mahkamah syariah dan pejabat kadi pandang remeh (masalah rumah tangga yang dihadapi) dan mereka minta wanita selesaikanlah dengan cara baik. Tapi bila golongan wanita pulang ke rumah, ada antara mereka (masih) dipukul dan didera," ujarnya.

Berikutan itu, Anwar memberitahu, ketika itu juga beliau mengadakan rundingan dengan mufti, pakar-pakar syarie dan kadi-kadi kanan untuk memastikan institusi berkenaan lebih prihatin terhadap nasib kaum wanita.

Katanya, selepas itu satu diploma khas diperkenalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk melatih kadi bukan sahaja tentang hukum tetapi prosedur pelaksanaan hukum yang seterusnya dapat memperbaiki prestasi kadi dan mahkamah syariah di negara ini.

"Tidak semua lelaki termasuk menteri dan ketua jabatan boleh faham masalah wanita melainkan yang diberikan ruang untuk mendengar permasalahan yang dihadapi wanita," tambahnya.