Jualan tiket JDT disalurkan kepada mangsa banjir

Edwards menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers.
Edwards menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers.
A
A
A

SEMUA jualan tiket membabitkan perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim sehingga akhir bulan Ramadan ini akan disalurkan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, ia adalah titah pemilik pasukan itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir.

"DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan JDT agar kesemua jualan tiket perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sehingga akhir Ramadan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di negeri Johor.

"Ini melibatkan perlawanan Liga Super menentang Kelantan (11 Mac), Sabah (31 Mac), Kedah (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM (14 April).

"Kesemua dana akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pejabat-pejabat daerah di negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Khamis.

Keadaan banjir di Johor masih belum pulih sepenuhnya dengan seramai 45,048 mangsa banjir daripada 12,746 keluarga masih ditempatkan 186 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas.