SKM rangka pelan antirasuah atasi salah guna kuasa anggota

Siti Azlin (tengah) bergambar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pengerusi Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad, Mohd Najib Mohd Noor (dua, kanan) dengan Pengurus Besar Hospital Az-Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman (tiga, kiri) dan Pengarah Kanan Pembangunan Hotel Pasifik Marriott International Andree Susilo (kanan) di Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
Siti Azlin (tengah) bergambar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pengerusi Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad, Mohd Najib Mohd Noor (dua, kanan) dengan Pengurus Besar Hospital Az-Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman (tiga, kiri) dan Pengarah Kanan Pembangunan Hotel Pasifik Marriott International Andree Susilo (kanan) di Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang merangka pelan antirasuah bagi membanteras penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota koperasi di seluruh negara.

Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta berkata, pihaknya akan memilih kelompok 100 koperasi terbaik dalam negara tahun ini sebagai perintis dan penanda aras pelan berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut susulan wujud kes melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 45 Akta Koperasi 1993 dalam kalangan anggota koperasi.

"Koperasi terdedah kepada banyak risiko (rasuah) terutama bila ia melibatkan pembangunan aktiviti atau projek berskala besar. Jadi kita tidak mahu tadbir urus koperasi itu terjejas kerana ia turut akan menjejaskan aktiviti sesebuah koperasi.

"Perangkaan pelan antirasuah ini adalah sebagai langkah pencegahan supaya ia (rasuah) tidak berlaku dan bahawasanya koperasi bebas daripada rasuah, sebab itu kita galakkan setiap koperasi untuk membangunkan pelan antirasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad dengan Marriot International dan Hospital Islam Az Zaharah di sini pad Khamis.

Katanya, SKM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia untuk membangunkan inisiatif tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU berkenaan, Siti Azlin berkata, ia melibatkan cadangan projek pembangunan sebuah resort 300 bilik di Pantai Chenang, Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan di Kuantan, Pahang.

"Ia melibatkan dua projek dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan berjumlah RM250 juta yang dijangka mula beroperasi pada 2024 (resort) dan 2026 (pusat penjagaan kesihatan). Ia dilihat mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang dirangka pihak koperasi.

"Koop Sahabat yakin dengan pembangunan hartanah tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan sahaja, sebaliknya penumpuan harus diberikan kepada pembangunan secara 'built-to-suit' yang (diyakini) mampu membantu pihak kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital, pusat pendidikan dan sebagainya," katanya. - Bernama