Perasaan Nafuzi bercampur, anggap bukan rezeki KDA

Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan kerana menyelamatkan beberapa percubaan wajib gol tuan rumah. - Foto KDA FC
Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan kerana menyelamatkan beberapa percubaan wajib gol tuan rumah. - Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui perasaannya bercampur baur apabila pasukannya tersingkir pada pusingan pertama Piala FA 2023 kepada kelab jiran, Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti.

Menurutnya, Sang Kenari telah memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut, namun pasukan tersebut gagal menoktahkan kemenangan di hadapan lebih 13,000 penyokong setia di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

"Malam ini perasaan saya bercampur, ada rasa gembira dan juga juga kecewa. Kecewa sebab kita tidak layak ke pusingan seterusnya dan gembira kerana daripada segi prestasi, ini adalah prestasi terbaik pemain setakat empat perlawanan yang dilalui.

"Saya rasa malam ini semua pemain berjaya mengalas tugas dengan baik dan inilah bola sepak. Walaupun ketinggalan kita dah bagi semua tapi mungkin rezeki tidak memihak kepada kita," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan pada malam Rabu.

Pada perlawanan tersebut, Sang Kenari ditewaskan Harimau Kumbang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa sebenar dan tambahan.

Ketua pasukan tuan rumah, Manuel Ott meledakkan gua gol pada minit ke-8 dan 90 manakala gol pelawat hadir menerusi Giovane Da Silva pada minit ke-21 dan Hassan Saad pada minit ke-67.

Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan kerana menyelamatkan beberapa percubaan wajib gol tuan rumah termasuk menyelamatkan sepakan penalti, Lee Tuck dan Bojan Ciger.

Mengulas lanjut, Nafuzi juga memohon maaf kepada penyokong Sang Kenari kerana gagal untuk membawa pasukan itu untuk mara jauh pada saingan Piala FA musim ini.

"Saya minta maaf (kepada penyokong) sebab kita sudah terkeluar pada pusingan pertama dan kita sudah pun buat yang terbaik dan penyokong melihat sendiri kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain.

"Seterusnya kita akan fokus kepada perlawanan lain seperti liga super. Namun selepas ini masih ada banyak perkara yang perlu ditingkatkan lagi daripada sudut permainan pasukan dan juga individu," ujar beliau.