Lans koperal mengaku tak bersalah terima rasuah RM900

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Rabu.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 sejak 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Muhamad A Jalalal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman didakwa menerima RM900 daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Company Sdn Bhd.

Dia didakwa menerima rasuah itu daripada pengarah syarikat menerusi akaun bank CIMB yang mana syarikat itu terbabit dengan kerja-kerja rasmi membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di bank Maybank dan CIMB di Jalan Bahru, Taman Chai Leng dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara November 2016 hingga Februari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad yang kini bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh merayu agar jaminan dapat dikurangkan atas alasan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan perlu menanggung anak autisme dan bapanya yang menghidap sakit jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin selain mengarahkannya untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.