24 fasiliti kesihatan di Johor terjejas banjir

Sukarelawan sedang mengemas Klinik Kesihatan Chaah yang terjejas banjir.
Sukarelawan sedang mengemas Klinik Kesihatan Chaah yang terjejas banjir.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 24 fasiliti kesihatan membabitkan klinik kesihatan dan klinik desa di Johor dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, keadaan banjir yang semakin baik membolehkan sebahagian besar klinik kesihatan yang terjejas beroperasi semula.

"Setakat ini, klinik kesihatan yang masih terjejas banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading. Bagi Klinik Kesihatan Chaah yang teruk terjejas banjir, operasi klinik dipindahkan ke balai raya berhampiran.

"Pengoperasian semula klinik yang terjejas banjir banyak dibantu klinik-klinik kesihatan berhampiran yang tidak terjejas banjir dan hospital utama di daerah itu. Sebagaimana yang berlaku di Klinik Kesihatan Chaah, kesemua peralatan kesihatan dilaporkan rosak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelepasan konvoi pasca banjir Southern Volunteers di Dataran Mahkota, Kota Iskandar pada Rabu.

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang memantau keadaan fasiliti kesihatan terjejas banjir ini supaya tidak memberi kesan kepada sistem kesihatan di negeri ini.

"JKNJ akan memastikan pergerakan pesakit tidak terganggu sekiranya klinik kesihatan masih terjejas banjir. Jika perlukan rawatan, pesakit akan rujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan hospital utama.

"Isu fasiliti kesihatan terjejas banjir yang memerlukan peruntukan segera untuk dibaiki akan dibawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Petugas kesihatan sedang mengemas farmasi Klinik Kesihatan Chaah yang terjejas banjir.
Petugas kesihatan sedang mengemas farmasi Klinik Kesihatan Chaah yang terjejas banjir.

Dalam pada itu, tambah beliau, tiada rekod berhubung penyakit bawaan air yang diterima di fasiliti kesihatan di Johor setakat ini.

"Tiada penyakit sakit bawaan air seperti cirit birit, taun, muntah akibat banjir yang dilaporkan berlaku di negeri ini.

"Kita harap tiada, kerana setiap pusat pemindahan sementara (PPS) ada stesen kesihatan masing-masing terdiri daripada petugas kesihatan yang akan pantau keadaan mangsa banjir," katanya.