Bekas MB Kedah meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain meninggal dunia akibat masalah kesihatan di sebuah hospital swasta di Sungai Petani pada pagi Rabu.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, namun maklumat lanjut masih belum diperoleh pihaknya setakat ini.

Menurutnya, Allahyarham yang berusia 79 tahun adalah Menteri Besar Kedah kelapan dan mempunyai jasa yang besar kepada negeri ini.

"Ini adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja buat keluarganya malah kepada seluruh rakyat Kedah.

"Sumbangan beliau cukup besar semasa menjadi Menteri Besar satu ketika dulu. Kami sangat merasai kehilangannya dan beliau akan dikenang sebagai individu berdedikasi tinggi," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, negeri itu kehilangan seorang pemimpin yang yang mempunyai visi tinggi membangunkan negeri jelapang padi tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah ke-12 berkata, kehilangan Syed Razak memberi kesan kepadanya kerana telah mengenali pemimpin tersebut sebelum menyertai dunia politik.

"Cinta Syed Razak kepada UMNO cukup besar sebelum ini dalam keadaan uzur dan tidak berapa sihat, beliau tetap turun berkempen untuk UMNO di Kuala Kedah pada PRU15," kata beliau.

Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dan menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 sehingga 2005.

Beliau meletak jawatan Menteri Besar semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disebabkan masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.