Perkampungan bertukar jadi 'tasik' di Batu Pahat

Kamarul Zaman (dua, kanan) melakukan pemantauan di tiga kampung sekitar Batu Pahat pada Selasa. - Foto Bernama
Kamarul Zaman (dua, kanan) melakukan pemantauan di tiga kampung sekitar Batu Pahat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Bagaikan melintasi kawasan tasik, itulah gambaran dapat diberikan ketika menyusuri tiga perkampungan di daerah ini yang ditenggelami air selepas dilanda banjir sejak Sabtu, lepas.

Tinjauan Bernama bersama Polis Diraja Malaysia menggunakan bot mendapati Kampung Sengkuang, Sri Bengkal dan Parit Yaani masih ditenggelami air sedalam satu hingga dua meter walaupun sudah dua hari cuaca panas dan beberapa kenderaan kelihatan seolah-olah 'terapung'.

Terdahulu, tinjauan yang bermula di Kampung Sengkuang, Batu Pahat hanya menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum terpaksa menaiki bot di Kampung Sri Bengkal menghala ke Parit Yaani di sini, yang turut berdepan dengan risiko kenaikan paras air walaupun cuaca panas hari ini.

Perjalanan sejauh satu kilometer itu memakan masa sehingga satu jam untuk sampai ke Parit Yaani dari Kampung Sri Bengkal, di sini apabila ada kawasan yang cetek dan tidak boleh menggunakan enjin bot untuk bergerak sebaliknya perlu mendayung untuk ke kawasan lebih dalam.

Difahamkan, kawasan kampung berkenaan dilimpahi air daripada sungai berhampiran dan Empangan Sembrong, sebelum mengalir ke laut.

Penduduk dari Parit Yaani, Muhammad Haslam Ismawan, 24, berkata, kawasan kampungnya dinaiki air sejak tiga hari lepas dan walaupun keadaan cuaca cerah, paras air akan terus meningkat atau menjadi banjir "termenung”.

Katanya, keadaan itu kebiasaanya akan berlarutan sehingga tiga hari akan datang, sekiranya tidak hujan.

"Ini adalah kebiasaan bagi penduduk di sini tetapi paling teruk berlaku selepas banjir besar pada 2006...air ini akan surut dalam tempoh seminggu mengikut keadaan cuaca," katanya ketika ditemui Bernama sewaktu mengharungi banjir untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang selepas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sri Bengkal di sini sejak tiga hari lepas.

Tinjauan yang turut disertai Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat itu turut menemukan penduduk yang enggan berpindah kerana bimbang barangan dalam rumah dicuri serta mendakwa 'ada kerja' mahu diselesaikan.

Kamarul Zaman berkata, tindakan penduduk itu boleh mengundang risiko kerana paras air semakin meningkat walaupun keadaan cuaca yang cerah sejak dua hari ini.

Ada penduduk yang enggan berpindah ketika ditemui berkata, dia dan dua ahli keluarganya tidak mahu berpindah kerana mahu menyelamatkan barangan dan menjaga rumah yang ditenggelami air.

"Ahli keluarga lain semua sudah berpindah ke PPS dan jika melihat keadaan air yang tinggi, kami akan hubungi PPS untuk bantuan," katanya yang tinggal di tingkat dua rumahnya selepas bahagian bawah rumah sudah dimasuki air.

Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor ialah 39,477 orang melibatkan lapan daerah, manakala Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 25,690 orang. - Bernama