50 lembu mati diracun, penternak rugi RM200,000

50 ekor lembu mati akibat keracunan di Machap Umboo, Alor Gajah, di sini pada Selasa.
50 ekor lembu mati akibat keracunan di Machap Umboo, Alor Gajah, di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang penternak kerugian kira-kira RM200,000 apabila 50 ekor lembu ternakannya mati akibat keracunan di Machap Umboo, Alor Gajah, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 43 tahun itu menyedari lembu miliknya dan adiknya itu, mati keracunan selepas diberitahu oleh seorang pekerja pada 7.30 pagi Isnin.

"Pengadu beritahu kali terakhir dia lihat lembu tersebut masih dalam keadaan baik pada petang semalam, namun ternakan tersebut tidak dimasukkan ke dalam kandang kerana musim hujan dan dibiarkan berkeliaran mencari makan di dalam ladang kelapa sawit.

"Siasatan awal mendapati lembu tersebut menceroboh kawasan kebun tanaman pokok durian berhampiran ladang kelapa sawit tempat ternakan itu berkeliaran berikutan terdapat kesan pagar roboh akibat dirempuh binatang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata ternakan tersebut kebiasaannya mencari makan dengan meragut di ladang kelapa sawit berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengambil sampel daripada lembu yang mati itu dan siasatan awal agensi itu mendapati haiwan tersebut dipercayai mati akibat keracunan kerana mulut berbuih, organ keluar darah dan keadaan dalaman lembu yang abnormal.

Menurutnya kejadian itu dipercayai berlaku antara 6.30 petang semalam dan 7.30 pagi ini.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan dan tiada tangkapan dibuat," katanya. - Bernama