Datuk dalang sindiket pengedaran dadah

Yahaya (dua kanan) menunjukkan antara rampasan dadah susulan serbuan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 3 Mac lalu.
Yahaya (dua kanan) menunjukkan antara rampasan dadah susulan serbuan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 3 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pengedaran dadah membabitkan lapan individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk tumpas dalam serbuan sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 3 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, lima serbuan Op Greyhound itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN KL berjaya merampas 300 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 2kg ekstasi dianggarkan bernilai RM10.8 juta.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri warga tempatan berusia 27 hingga 61 tahun membabitkan tujuh lelaki serta wanita.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak awal tahun ini.

"Dadah terbabit dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, sindiket dipercayai mendapat bekalan dadah dari negeri di utara semenanjung yang dibawa masuk dari sempadan sebelum dibawa ke Lembah Klang menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, polis turut menyita tujuh kenderaan pelbagai jenis bernilai RM456,000, barang kemas (RM17,566 ) dengan wang tunai RM8,400.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM11.2 juta," ujarnya.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal mendapati enam suspek positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis percaya lelaki bergelar Datuk merupakan dalang kegiatan ini namun siasatan lanjut masih dijalankan selain mengesan ahli sindiket yang masih bebas," jelasnya.

Tegas Yahaya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.