Piala FA: KDA cari penawar aksi derbi bertemu Penang

Pemain KDA FC giat menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim bagi persiapan menghadapi pusingan pertama Piala FA 2023. FOTO KDA FC
Pemain KDA FC giat menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim bagi persiapan menghadapi pusingan pertama Piala FA 2023. FOTO KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mahu bangkit mencari penawar pada pusingan pertama Piala FA 2023 apabila bertemu pasukan jiran, Penang FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, aksi derbi utara itu sekali lagi bakal menguji Sang Kenari selepas kekalahan mengejut 0-1 kepada PDRM FC pada saingan ketiga Liga Super 2023.

Menurutnya, KDA perlu bangkit pada perlawanan tersebut biarpun sedar Penang kini adalah sebuah pasukan yang berbeza berbanding musim lalu.

"Berdepan Penang FC kita perlu menang dan bangkit kembali dengan penuh bersemangat. Semua pemain perlu berkeyakinan untuk bermain dan tidak mengecewakan harapan penyokong (untuk menang)," katanya ketika diminta mengulas pusingan pertama Piala FA 2023.

Nafuzi mengakui KDA tidak boleh memandang rendah ancaman Penang kerana mereka turut dibarisi ramai pemain import yang boleh beraksi di pelbagai posisi.

Menurutnya, persediaan rapi dilakukan oleh Sang Kenari terutamanya dalam membangkitkan kembali semangat pemain yang masih kecewa selepas kekalahan kepada The Cops.

"Selepas kalah (kepada PDRM FC), pemain kecewa tapi mereka tahu apa yang berlaku dan beri kesedaran kepada mereka (untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya).

"Penang mempunyai ramai pemain berkualiti di semua posisi dan mampu memberikan ancaman besar kepada kita.

"Walaupun Penang bagus tapi persediaan pasukan kitalah yang paling penting. Kalau kita sendiri beraksi tidak baik berjumpa dengan mana-mana pasukan pun sukar untuk kita menang," ujar beliau lagi.