Syamsul enggan cerai Puteri Sarah

Gambar dari kiri: Puteri Sarah dan Syamsul
Gambar dari kiri: Puteri Sarah dan Syamsul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengarah filem 'Mat Kilau', Syamsul Yusof enggan menceraikan isterinya, Puteri Sarah ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.

Peguam syarie, Roshdan Sujak yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan berkata demikian ketika prosiding di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas dengan dihadiri peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader bagi pihak Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, selaku plaintif.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan cerai itu.

“Mahkamah mendapati, tiada keadaan luar biasa, membolehkan mahkamah membenarkan permohonan plaintif untuk meneruskan prosiding dengan hakam keluarga tanpa melalui proses JKP.

“Saya harap, kedua-dua pihak beri kerjasama kepada JKP kerana ia adalah laporan lengkap sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan,” katanya.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada seorang ahli keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Sementara hakam ialah satu kaedah yang berlandaskan hukum syarak yang diberi kuasa dalam memutuskan sama ada pertikaian akan diselesaikan dengan cara perdamaian atau perceraian.

Sebelum ini semasa prosiding, Roshdan berkata, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan cerai oleh Puteri Sarah.

Justeru itu, beliau mencadangkan JKP ditubuhkan sebelum proses hakam keluarga dibuat, kerana ia akan dipengerusikan pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bukannya wakil kedua-dua pihak.

“Tiada keadaan luar biasa, membolehkan mahkamah untuk meneruskan prosiding ini tanpa melalui proses JKP,” katanya.

Bagaimanapun, Akberdin membantah cadangan itu kerana tiada cara untuk menyelamatkan perkahwinan suami isteri berkenaan.

Ini kerana beliau berkata, Puteri Sarah dan Syamsul sudah lama tinggal berasingan dan tidak berkomunikasi.

“Ia hanya akan membuang masa dan tidak membawa manfaat, maka kami mohon untuk meneruskan prosiding ini dengan melantik hakam keluarga," katannya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.