Polis cari pemilik kereta ada vest polis

Imej kereta mengandungi vest polis yang menghalang lalu lintas di Padang Polo, Ipoh tular di media sosial. - Foto Ihsan pembaca
Imej kereta mengandungi vest polis yang menghalang lalu lintas di Padang Polo, Ipoh tular di media sosial. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis meminta individu yang merakam gambar kereta mengandungi vest polis yang menghalang lalu lintas untuk tampil bagi membantu siasatan.

Imej kereta jenis Proton Saga berwarna hitam dipercayai milik penjawat awam itu tular di Twitter pada Isnin selepas diparkir secara berlapis hingga menyukarkan pengguna jalan raya lain.

Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet apabila tiada sebarang nombor telefon ditinggalkan kecuali vest polis di bahagian papan pemuka kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu disyaki berlaku di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Padang Polo di sini.

"Kita sedang mengesan individu yang merakam gambar tersebut bagi membantu mengenal pasti pemilik kereta terbabit.

"Individu tersebut boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-4173222," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Yahaya, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi hingga menjejaskan siasatan mahupun reputasi polis.