Gagal melapor rasuah boleh didakwa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang gagal melaporkan aktiviti rasuah boleh dikenakan tindakan undang-undang terutama bagi penjawat awam.

Setiausaha Agung Malaysia Corruption Watch (MCW), Rosdi Amir berkata, sebarang aktiviti tidak bermoral itu sewajarnya segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil.

“Laporan perlu dibuat mengikut Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan ianya melibatkan individu yang tidak melaporkan aktiviti rasuah dan mengambil atau menerima turut boleh didakwa.

“Ramai yang tidak cakna perkara ini kerana ianya bukan undang-undang yang utama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, isu rasuah bukan sahaja melibatkan penjawat awam tetapi juga berlaku di sektor swasta.

Tambah beliau, autonomi yang dimiliki oleh penjawat awam lebih terdedah dengan perkara tersebut sekali gus menjadikan rasuah adalah perkara biasa.

“Kita harus akui penjawat awam mempunyai kuasa penuh dari segi meluluskan dan memberi kebenaran untuk bertindak.

“Bagaimanapun, memang tidak adil kalau menuduh penjawat awam sahaja yang mengambil rasuah kerana rasuah juga berlaku di sektor swasta,” jelasnya.

SPRM Selangor, baru-baru ini mendedahkan penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi ditahan bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.

Pengarahnya, Datuk Alias Salim berkata, berdasarkan rekod seramai 170 penjawat awam ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).