Masalah capaian internet selesai menjelang Jun ini

Fahmi ketika menjawab soalan media pada program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.
Fahmi ketika menjawab soalan media pada program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi jaminan masalah capaian internet dalam negara terutama di kawasan pinggir bandar dapat diselesaikan menjelang Jun ini.

Beliau menjelaskan, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan perbincangan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi bagi mengenal pasti dan mencari penyelesaian sewajarnya.

"Apa yang saya tegaskan kepada pihak SKMM, menjelang Jun ini masalah perkongsian rangkaian dan mutu kualiti (capaian internet) dapat diselesaikan.

"Melalui perbincangan saya bersama syarikat telekomunikasi, mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama, mungkin perlukan sedikit perbincangan antara mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sementara itu Fahmi menjelaskan, capaian internet tidak boleh dinilai dengan jumlah menara telekomunikasi di sesuatu tempat namun perlu melihat keadaan geografi kawasan terlibat.

"Oleh itu kita akan ikhtiarkan broadband wireless access (BWA) yang akan menggunakan teknologi seperti satelit, mungkin kita akan teliti TV Wide Space dan beberapa teknologi lain yang akan membantu menyediakan akses," jelasnya.

Ketika ini, hanya tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara masih tidak mempunyai capaian Internet.