Usahawan jangan suka buat 'content' membodohkan diri sendiri

Program MUM bertajuk ‘Mawar Karim tidak mudah putus asa’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. -Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Program MUM bertajuk ‘Mawar Karim tidak mudah putus asa’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. -Foto Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli perniagaan terkenal, Mawar Abdul Karim menyifatkan, kandungan 'murahan' untuk memasarkan produk bukan sahaja tidak bermanfaat tetapi hanya akan membodohkan diri sendiri.

Menurutnya, seolah-olah sudah menjadi budaya, hantaran video atau gambar yang berunsur negatif akan lebih cepat ‘naik’ dan mendapat perhatian netizen.

Bagaimanapun, anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda itu menegaskan, usahawan khususnya yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tidak seharusnya memuat naik kandungan negatif di laman sosial sehingga mengundang kecaman orang ramai.

“Ia bergantung kepada content, yang mana bagus itu baguslah, tetapi kadang-kadang kita tengok ada content yang membodohkan diri sendiri sampai orang mencaci kita, itu tidak bagus.

“Memang masyarakat Melayu ini suka negatif, yang positif agak kurang, tetapi jangan sampai orang mentertawakan kita menerusi content tersebut.

“Lagipun, kita tengok sekarang masyarakat semakin kreatif, macam-macam jenis video yang ada. Dulu tidak ada sebegitu, tetapi ini mungkin berlaku disebabkan peredaran zaman,” katanya.

Mawar Karim
Mawar Karim

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Mawar Karim Tidak Mudah Putus Asa’ anjuran Sinar Harian.

Program yang dihoskan oleh Hazlin Hussain itu disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, seiring aspirasi kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah, Mawar turut mengambil pendekatan untuk tampil dengan koleksi tudung Rahmah.

Ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu, syarikatnya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menghasilkan tudung Rahmah khusus untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Istimewanya, kita berkolaborasi dengan KPDN untuk menawarkan harga (tudung) yang mampu milik. Nanti kita akan buat pakej, untuk persediaan hari raya tidak lama lagi,” jelasnya.