Pilihan Raya PBT boleh dibuat dalam tempoh percubaan

Ahmad Akhir, Muhammad Shakir
Ahmad Akhir, Muhammad Shakir
A
A
A
SHAH ALAM - Cadangan bagi melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) dilihat dapat dilaksanakan dalam tempoh percubaan dengan melibatkan beberapa kawasan lain yang bersesuaian.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 22, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai banyak isu dan ketirisan sebelum ini serta tidak hanya tertumpu di Parlimen Shah Alam sahaja.

"Bagi saya kalau nak buat di Shah Alam tiada halangan namun keutamaan pelaksanaan ini perlu dibuat di Kuala Lumpur kerana terdapat banyak kes dan isu timbul sebelum ini.

"Ini kerana seperti semua tahu, pilihan raya PBT ini adalah merupakan salah satu cara untuk meminamakan ketirisan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Shakir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Samad yang dilaporkan berkata pilihan raya PBT boleh diuji bermula di Shah Alam walaupun terdapat kegusaran mengenai keseimbangan kaum.

Memetik laporan berita portal, beliau berkata proses memilih ahli majlis tempatan termasuk datuk bandar tidak wajar dibuat sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengatakan kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya PBT berikutan kebimbangan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Mengulas lanjut, Muhammad Shakir yang dilantik sebagai ahli majlis atas kuota DAP memaklumkan bahawa parti itu sentiasa memperjuangan pilihan raya PBT sejak dahulu lagi sebelum tertubuhnya mana-mana gabungan di dalam PH.

"DAP tidak meletakkan perkara ini di dalam manifesto berikutan setiap parti dalam PH perlu mengambil kira pandangan ahli gabungan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 17, Ahmad Akhir Pawan Chik berkata kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan lain dilakukan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, walaupun negara ini mengamalkan prinsip demokrasi, namun isu-isu yang menimbulkan kebimbangan masyarakat perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

"Kita pun bantah cadangan itu (pilihan raya PBT di Shah Alam) berikutan perkara ini masih belum dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.

"Kita sewajarnya memberi laluan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Persekutuan membuat kajian terperinci berhubung perkara itu terlebih dahulu," katanya.