Kerajaan peruntuk RM350 juta naikkan IPG kepada RM2.70

Kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram. - Foto Bernama
Kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Aminah Aching berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang terjejas pendapatan apabila harga getah merosot.

“Seperti mana sedia maklum, Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari lalu telah bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG.

“Berhubung cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap (cuplump) kepada RM4.50 sekilogram, buat masa ini kementerian akan melaksanakan paras harga pengaktifan IPG sebagaimana yang diumumkan di dalam Bajet 2023,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menaikkan kadar IPG dari RM 2.50 ke RM 4.50 pada waktu ini.

Bagaimanapun, Siti Aminah berkata, kementerian akan memperhalusi cadangan tersebut bersama kementerian dan agensi terlibat, tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan.