Teladan bersosial daripada haiwan

Kumpulan serangga seperti semut dan lebah membentuk koloni yang mempunyai peranannya tersendiri dalam mewujudkan keharmonian dalam sarangnya. - Gambar hiasan
Kumpulan serangga seperti semut dan lebah membentuk koloni yang mempunyai peranannya tersendiri dalam mewujudkan keharmonian dalam sarangnya. - Gambar hiasan
A
A
A

KITA sering mendengar keluhan para pendidik kini tentang kurangnya adab anak-anak pelajar kita sama ada dalam menuntut ilmu mahu pun ketika berbicara.

Justeru, tugas mendidik generasi kini dikatakan lebih mencabar jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana pelajarnya dianggap lebih ‘mendengar kata’.

Ada sesetengah daripada kita yang beranggapan bahawa pendedahan gajet seusai usia yang masih awal menjadi salah satu punca mengapa pelajar-pelajar masa kini bersikap demikian.

Gajet mungkin dipersalahkan apabila saban hari anak-anak muda semakin gemar bersosial dalam dunia maya tetapi kurang bergaul dalam dunia nyata.

Persoalannya, adakah gajet semata-mata perlu dipersalahkan apabila anak pelajar kita mula tidak reti untuk bersosial dan beradab? Atau sebenarnya perlakuan tersebut dipelajari daripada tingkah laku ibu bapa dan masyarakat sekitar yang menjadi role model kepada mereka.

Apa yang pasti masyarakat kita juga semakin hari kian menjauh dalam konteks bersosial di dunia nyata.

Manakan tidak, sesama jiran pun sudah semakin payah untuk bertegur sapa. Masing-masing terlalu sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Walaupun begitu, ada sesetengah individu pula gemar menonjolkan sisi kehidupan yang bermewah serta pelbagai aktiviti harian dalam media sosial. Mungkin itu cara ‘bersosial’ yang disukai dalam masyarakat moden hari ini.

Jika kita menjengah seketika ke alam haiwan, ia memberikan kita sedikit klu atau petunjuk tentang peri pentingnya bersosial dalam masyarakat. Dalam alam haiwan, terdapat pelbagai spesies yang hidupnya bersosial dalam kelompok yang besar seperti kawanan ikan, antelope, serigala, rusa dan sebagainya.

Mengapa haiwan-haiwan ini berada dalam kelompok atau dalam erti kata lain hidup bersosial dalam komunitinya? Ahli biologi mengandaikan bahawa perlakuan sosial haiwan dalam lingkungan kelompok atau koloni adalah bagi memenuhi tuntutan kemandirian spesies untuk beradaptasi dengan perubahan persekitaran.

Haiwan yang berada dan berinteraksi dalam kelompok memberikan kelebihan kepada spesies haiwan tersebut terutamanya dalam aspek kurang peluang dimakan pemangsa.

Sebagai contoh, wildebeest iaitu sejenis antelope jika berada dalam kelompok yang lebih ramai akan mengurangkan risiko dimakan pemangsanya iaitu singa dengan nisbah satu peratus (%) jika berada dalam kelompok 100 ahli dan berkurang kepada 0.1% jika berada dalam kelompok 1,000 ahli.

Selain itu, bersosial dalam kelompok penting bagi mengekalkan ciri-ciri genetik yang paling kuat dari aspek evolusi spesiesnya. Satu perkara lagi yang mungkin menarik tentang spesies kelawar Vampire yang boleh kita pelajari dari aspek bersosial. Kelawar Vampire adalah satu-satunya mamalia di bumi ini yang makanannya hanyalah darah.

Sebab itu ia sering dikaitkan dengan cerita hantu barat yang tersohor dan mungkin namanya berasal daripada kelawar ini. Namun diet daripada darah adalah diet yang kurang berkalori menyebabkan kelawar Vampire perlu minum darah sehingga 1.4 kali ganda daripada berat badannya yang asal. Oleh itu, darah adalah makanan yang menjadi persaingan antara kelawar-kelawar ini untuk kemandirian individu.

Namun kajian oleh penyelidik, Gerald Wilkinson mendapati bahawa walaupun kelawar Vampire bersaing sesama sendiri dalam kelompok untuk mendapatkan darah, namun kelawar yang mendapatkan cukup darah akan berkongsi dengan kelawar lain yang kurang mendapatkan darah.

Perilaku timbal balik dalam hubungan sosial ini menurut Wilkinson adalah akibat daripada ‘harapan’ kelawar pemberi kepada kelawar ‘penerima’ untuk mendapatkan darah jika pada masa akan datang, ia pula tidak berupaya mendapatkan darah.

Mungkin ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada interaksi sosial haiwan-haiwan ini untuk kita jadikan amalan dan teladan.

* Dr Nur Izwani Mohd Shapri ialah Pensyarah Kanan Jabatan Biologi Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris.