Agong sempurnakan majlis pecah tanah projek bina surau IPD Cameron Highlands

Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Datuk Seri Daniel Lim memberi taklimat skala model pembinaan surau kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di majlis pecah tanah surau Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.
Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Datuk Seri Daniel Lim memberi taklimat skala model pembinaan surau kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di majlis pecah tanah surau Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – LBS Bina Group Berhad, (LBS), pemaju perumahan terkemuka, hari ini mengadakan majlis pecah tanah surau baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands (IPDCH).

Majlis pecah tanah surau tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir memeriahkan majlis termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dan Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim, mewakili syarikat.

Projek pembinaan surau tersebut bakal menelan kos pembinaan yang dianggarkan sekitar RM5 juta dengan keluasan lantai 6,016 kaki persegi, termasuk kemudahan surau. Dengan keluasan tanah seluas 1 ekar, surau ini boleh memuatkan kapasiti jemaah seramai 200 orang.

Daniel Lim (kiri), Wan Rosdy (dua dari kiri), Razarudin (dua dari kanan), Ramli (kanan) mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melakukan simbolik pecah tanah di majlis pecah tanah surau IPD Cameron Highlands.
Daniel Lim (kiri), Wan Rosdy (dua dari kiri), Razarudin (dua dari kanan), Ramli (kanan) mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melakukan simbolik pecah tanah di majlis pecah tanah surau IPD Cameron Highlands.

Surau baharu itu bakal dilengkapi dengan beberapa kemudahan antaranya Bilik AV, bilik Imam, tandas lelaki dan wanita, halaman terbuka, kolah wuduk, bilik mesyuarat, bilik jenazah, tempat letak kenderaan van jenazah, ruang dapur dan ruang makan. Bagi kemudahan parkir, surau tersebut juga akan mempunyai 62 tempat letak kereta, termasuk dua tempat letak kenderaan bagi orang kurang upaya dan 15 lot motosikal.

“Kami amat berbesar hati di atas kesudian Baginda Tuanku dan Baginda Permaisuri hadir mencemar duli dan berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah.

"Surau baharu ini bakal menjadi tempat ibadah kepada komuniti setempat khususnya kakitangan IPD Cameron Highlands selain digunakan untuk pelbagai aktiviti berkaitan yang menjurus ke arah penyatuan masyarakat," kata Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San.

Jelas beliau, projek pembinaan surau ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LBS untuk mewujudkan impak positif di kalangan komuniti.

"Sebagai pemaju di Cameron Centrum, sebuah projek pembangunan komersial, kami percaya bahawa dengan pembinaan surau yang dilengkapi kemudahan yang bersesuaian dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat IPDCH di samping menyokong pembangunan di Cameron Highlands.

"Syarikat yakin terhadap pelaburan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat kerana ia memberi kesan yang positif kepada negara, sejajar dengan visi kami untuk terus konsisten di dalam “Memperkasa Individu, Meningkatkan Komuniti,” tambahnya.

LBS mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam pembangunan hartanah di seluruh Malaysia. Cadangan pelaksanaan surau di IPDCH ini dijangka akan menjadi nilai tambah kepada portfolio syarikat di samping memberi kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat.