MA63: Kementerian Kewangan selaras pemberian khas

Armizan (dua dari kiri) menyampaikan Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan ke-13 2022. -Foto UMK
Armizan (dua dari kiri) menyampaikan Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan ke-13 2022. -Foto UMK
A
A
A

BACHOK - Kementerian Kewangan sedang menyelaras indikator pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sarawak dan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan Persekutuan serta kedua-dua negeri itu berunding bagi menentukan kadar peningkatan tersebut.

“Sebaik saja ada keputusan muktamad saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan umumkan kadar pertambahan pemberian khas itu.

“Saya cukup yakin kadarnya melebihi 100 peratus untuk kepentingan masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan ke-13 2022 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, di sini, pada Ahad.

Armizan berkata, Anwar juga mengarahkan supaya 28 isu tertunggak membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak 2016 dilakukan menerusi kaedah mod pelaksanaan.

“Perdana Menteri tidak mahu berbalik pada rundingan awal mana-mana isu yang sudah boleh mula dilaksanakan.

"Sebab itu, kita dapat lihat beberapa pengumuman dibuat dan selesai apabila keputusan disepakati oleh kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkata, kerajaan bersetuju menaikkan pemberian khas kepada RM300 juta untuk Sarawak mengikut Perkara 112D tersebut.