Orang Asli cedera diserang buaya

Mangsa (duduk) yang cedera akibat diserang buaya dibantu penduduk kampung mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kahang pada Ahad.
Mangsa (duduk) yang cedera akibat diserang buaya dibantu penduduk kampung mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kahang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki Orang Asli cedera akibat diserang buaya selepas pulang menghantar penduduk kampung dengan menaiki bot di Sungai Bahai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa Mahat Maya 51 mengalami kecederaan di bahagian rusuk sebelah kiri.

Katanya, mangsa menghentikan botnya selepas mendapati satu objek seperti kayu buruk menghalang laluan sebelum berdiri untuk mengalihkan halangan itu.

"Mangsa kemudiannya menyedari kayu buruk itu merupakan seekor buaya, bertindak mengalihkan bot namun tidak sempat apabila haiwan itu telah melibas bahagian penutup enjin.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri manakala bahagian penutup enjin rosak," katanya pada Ahad.

Menurut Bahrin, mangsa bernasib baik kerana terjatuh di dalam bot dinaikinya manakala enjin dapat dihidupkan semula sebelum bergerak balik ke kampung.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kahang oleh penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.