Banjir di Johor terkawal, tak perlu isytihar darurat - PM

Anwar ketika hadir bagi melawat mangsa banjir di PPS SJKC Kampung Tengah. - Foto Bernama
Anwar ketika hadir bagi melawat mangsa banjir di PPS SJKC Kampung Tengah. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Kerajaan tidak akan mengisytiharkan sebarang darurat berhubung situasi bencana banjir yang berlaku di Johor ketika ini kerana keadaan terkawal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengisytiharan tersebut tidak perlu dilakukan kerana hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana keadaan terkawal selain hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat sedikit surut. Di beberapa tempat yang mengambil banjir temenung pula, mungkin itu mengambil masa sedikit untuk surut.

"Namun tidak perlu darurat setakat ini dan keadaan banjir difahamkan mulai surut bermula hari ini. Itu yang dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Seramai 502 mangsa daripada 133 keluarga di Kampung Tengah berlindung di PPS berkenaan yang dibuka sejak Rabu lalu.

Keadaan di PPS SJKC Kampung Tengah.
Keadaan di PPS SJKC Kampung Tengah.

Pada Jumaat, media melaporkan kabinet tidak membincangkan sebarang keperluan untuk melaksanakan darurat di Johor yang terjejas teruk akibat banjir.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini Jemaah Menteri berpandangan bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa.

Pada masa yang sama kerajaan turut bersetuju untuk memperuntukkan bantuan khas sejumlah RM50 juta kepada kerajaan negeri Johor.

Selain itu, sebanyak RM10 juta bantuan mangsa banjir di Johor disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membeli barangan keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan daripada kerajaan itu diharap dapat meringankan beban mangsa banjir memandangkan banyak barang kediaman yang rosak akibat bencana itu.

"Kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghantar lori pengangkut sampah. Kumpulan mahasiswa dan badan bukan kerajaan ( NGO) akan diselaraskan bagi membantu penduduk bersihkan rumah mereka selepas banjir surut.

"Penyelarasan mangsa banjir di Johor cukup baik, terima kasih kepada Onn Hafiz dan kerajaan negeri. Setiap tempat yang saya tinjau, saya tanya tentang makanan, setakat ini mereka kata cukup," katanya.

Beliau turut memberitahu telah menghubungi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu mangsa banjir di Johor.

"Saya juga telah hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elektrik dengan kadar segera.

"Selain itu Yayasan Sime Darby menyediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga dan menyalurkan dana tambahan RM20 juta untuk mangsa banjir di negeri ini," katanya.