Mbappe pecah rekod penjaring terbanyak PSG

Mbappe - Foto AFP
Mbappe - Foto AFP
A
A
A

KYLIAN Mbappe menjadi penjaring terbanyak Paris Saint-Germain (PSG) sepanjang masa selepas meledak gol ke-201 ketika kelab itu menewaskan Nantes 4-2 dalam aksi Ligue 1, pada Ahad.

Bintang Perancis itu telah menyamai rekod Edinson Cavani sebelum ini iaitu 200 gol dengan dua gol dalam kemenangan minggu lalu di Marseille sebelum meledak satu gol pada masa kecederaan di Parc des Princes.

Mbappe mencapai rekod itu dalam hanya 247 penampilan sejak menandatangani kontrak dari Monaco pada usia 18 tahun pada 2017.

Cavani pula memerlukan 298 perlawanan dalam tempoh tujuh tahun untuk mencipta rekod tersebut pada 2020.

"Saya bermain untuk mencipta sejarah dan saya selalu berkata saya mahu mencipta sejarah di Perancis, di ibu negara saya, di bandar saya, dan saya melakukannya.

"Ia hebat, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Bagi saya, sebagai orang asli Perancis, ini sangat istimewa.

"Jika seseorang berkata kepada saya bahawa saya akan menjaringkan gol untuk mencipta rekod semasa memakai lilitan kapten, saya tidak akan percaya," katanya.

Dalam perlawanan itu, Lionel Messi turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-12 sebelum gol sendiri pemain Nantes, Jaouen Hadjam menjadikan kedudukan 2-0 dalam tempoh 17 minit.

Nantes cuba bangkit melalui gol Ludovic Blas dan Ignatius Ganago untuk menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, PSG nyata lebih unggul dengan gol Danilo Pereira sebelum Mbappe memastikan kemenangan pasukan gergasi Perancis itu pada penghujung perlawanan.