Dua kad merah beri impak kepada KDA FC

Victor Andrag
Victor Andrag
A
A
A

DUA layangan kad merah kepada ketua pasukan Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott dan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain diakui memberikan kesan kepada pasukan itu sebelum tumpas 0-1 kepada PDRM FC di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.

Penolong Jurulatihnya, Victor Andrag berkata, pasukan tersebut ingin menang di laman sendiri dan kad merah telah menyebabkan ada pemain yang gagal mengawal perasaan.

"Bagi saya ini perlawanan yang sengit. Saya tak nak komen banyak tentang pengadil, kita harap akan bangkit pada perlawanan seterusnya.

"Dalam perlawanan jika seorang telah diarahkan keluar ia akan bagi impak kepada pasukan tambah-tambah melibatkan ketua Jurulatih dan tonggak utama.

"Pemain kita tidak dapat kawal perasan disebabkan oleh insiden yang berlaku di dalam padang," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.

Victor bagaimanapun enggan mengulas mutu pengadil, Mohd Azizan Saat Ariffin yang mengadili perlawanan tersebut.

"Saya minta maaf, saya tidak boleh komen tentang isu itu," tegas beliau.

Tambahnya, pujian tetap diberikan kepada pemain Sang Kenari telah memberikan segala-galanya pada perlawanan itu walaupun beraksi dengan 10 pemain.

"Terima kasih kepada penyokong kerana memang kita perlukan sokongan mereka. Bagi saya jangan putus asa kerana perjalanan liga masih panjang," ujarnya yang menghargai sokongan lebih 12,000 penyokong pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu, Jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz pula berkata, mereka mahu meraikan kejayaan menumpaskan pasukan pilihan seperti KDA FC tanpa melihat perkara tersebut sebagai satu tuah.

Menurutnya, kejayaan mendapatkan kemenangan dan jaringan pertama pada musim ini meningkatkan lagi motivasi The Cops pada aksi seterusnya.

"Kedah memberikan permainan yang berkualiti sepanjang permainan. Saya sangat gembira dengan separuh masa pertama dengan berjaya terikat tanpa jaringan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kemenangan kami ini seperti satu tuah sebaliknya menikmati kemenangan yang telah diperoleh pasukan serta membuat persiapan bagi saingan seterusnya," katanya yang juga bekas pengendali Sang Kenari.