KWSP catat 635,989 ahli baharu

Amir (tengah) bergambar selepas memberi taklimat prestasi kewangan KWSP pada Sabtu.
Amir (tengah) bergambar selepas memberi taklimat prestasi kewangan KWSP pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989 menjadikan jumlah ahlinya kepada 15.72 juta setakat Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2022.

Menurutnya, jumlah itu merupakan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli berikutan pemulihan teguh dalam pasaran buruh Malaysia.

"Jumlah ahli aktif menunjukkan peningkatan pada tahun 2022, melangkaui jangkaan pertumbuhan yang dicatatkan sebelum pandemik Covid-19.

"Pencapaian ini membolehkan KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, meningkat kepada 53 peratus nisbah 47 peratus pada Disember 2022," katanya.

Tambah beliau, bagaimanapun peratusan ahli aktif berbanding jumlah tenaga buruh masih agak rendah berbanding tahap perlindungan sosial hari tua di seluruh dunia.

"Oleh itu, KWSP sedang melancarkan inisiatif dan menggiatkan usahanya untuk meningkatkan perlindungan tenaga buruh negara kepada lebih 60 peratus.

"Antara usaha berterusan dalam meluaskan perlindungan KWSP adalah melalui i-Saraan, yang dibangunkan khusus untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan formal untuk menabung dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka," katanya.

Amir Hamzah berkata, secara keseluruhannya jumlah caruman sepanjang 2022 meningkat kepada RM84.78 bilion peningkatan sebanyak 16 peratus daripada 2021.

"Peningkatan yang ketara itu menandakan penambahbaikan dalam kapasiti kewangan ahli lanjutan daripada pemulihan progresif pendapatan, pekerjaan dan ekonomi.

"Ia juga menyerlahkan kepercayaan berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan seumur hidup ahli," katanya.