Banjir: KPDN gerakkan bantuan bank makanan

Fuziah menunjukkan Pakej Rahmah yang disediakan pasar raya yang mengambil bahagian sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Peringkat Negeri Pahang pada Sabtu.
Fuziah menunjukkan Pakej Rahmah yang disediakan pasar raya yang mengambil bahagian sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Peringkat Negeri Pahang pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan bantuan bank makanan ke negeri terjejas banjir termasuk Pahang dan Johor.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, bantuan itu digerakkan segera selepas banjir berlaku melalui pengedaran makanan sedia masak dan makanan kering ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan teruk terjejas.

Menurutnya, apabila ada permintaan untuk kawasan terkepung dan terputus hubungan akibat banjir, KPDN akan menggerakkan petugas masuk ke kawasan terjejas untuk membantu dengan bantuan bank makanan ini.

"Kita memahami kesulitan mangsa banjir yang terkepung banjir apabila mereka sukar untuk mendapat barang keperluan dalam tempoh sukar itu.

"Kita mendapat komitmen daripada rakan-rakan strategik untuk membantu membekalkan keperluan dan logistik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Peringkat Negeri Pahang di sini pada Sabtu.

Fuziah berkata, bank makanan secara percuma itu hasil sumbangan rakan strategik terutama rangkaian pasar raya besar dan bantuan itu akan dihulurkan pada kadar segera.

"Kita ada depoh bank makanan ini di Kajang, namun misalnya di Pahang ini, bila ada sumbangan, KPDN negeri akan segera edarkan ke kawasan terjejas tanpa perlu menunggu bekalan dari depoh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, inisiatif Payung Rahmah telah diperluaskan ke Pahang dengan kerjasama sebuah pasar raya besar di negeri ini.

"inisiatif ini meliputi Program Jualan Rahmah (PJR), Pakej Rahmah, Bakul Rahmah dan pengenalan Menu Rahmah di sebuah kedai makanan segera di sini.

"Kita juga harapkan lebih banyak rangkaian pasar raya mengambil bahagian dalam inisiatif ini dengan menawarkan jualan dan pakej Rahmah," katanya.

Tambah beliau, Program Jualan Rahmah melalui kerjasama pemain industri peruncitan menawarkan penjimatan harga melibatkan 128 barang keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran setempat.

"Pakej Rahmah pula menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus dan pada hari ini pasar raya terlibat menyediakan pakej barang keperluan asas bernilai RM50 berbanding harga asal RM70," jelasnya.

Pada majlis itu, Fuziah turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 100 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik terdiri pemain industri peruncitan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kumpulan miskin tegar.

"Inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara yang dijangka memberi manfaat kepada 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan," ujarnya.

Tambah beliau, sehingga 3 Mac, 1,085 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.