Tadbir urus negara secara baik, jauhi rasuah - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kerhormatan di Istana Iskandariah pada Sabtu. - Foto: Bernama
Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kerhormatan di Istana Iskandariah pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan kerajaan yang dipilih dapat mentadbir urus negara secara bijaksana melalui mekanisme yang tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Baginda bertitah, rakyat semakin celik huruf mengutamakan faktor integriti, amanah dan ketelusan selain mahukan pemimpin menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari.

Titah baginda, rakyat semakin lantang mendedahkan isu rasuah dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

"Rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah. Rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.

"Forum Ekonomi Dunia 2019 menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar yang anak muda hadapi. Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah.

"Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya dan skandal-skandal kewangan telah mencontengkan arang di wajah negara. Keaibannya ditanggung dengan harga mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir serta ahli-ahli Exco kerajaan negeri.

Sultan Nazrin bertitah, rakyat mengimpikan sebuah kerajaan yang secara berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah.

Titah baginda, setelah 65 tahun merdeka dan 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut menu dan resipi baharu dalam persekitaran politik yang juga baharu.

"Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat.

"Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi. Jangan ulangi kesilapan mereka yang terdahulu, jangan sama sekali dihampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk," kata Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa teramat penting raja pemerintah berupaya mentafsir dinamik yang menuntut kepada budaya dan keterbukaan dengan bijaksana.

Kata baginda, tadbir urus yang pincang akan merosakkan negara dan akhirnya turut melemahkan takhta.

"Justeru, menjadi tanggungjawab takhta, memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menzahirkan teguran dan nasihat secara berterus terang kepada para pemimpin.

"Takhta juga perlu menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon agar takhta berperanan sebagai penimbang tara, secara adil, saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan pemimpin kerajaan negeri agar tidak mengecewakan kepercayaan baginda dan amanah rakyat.

"Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil lagi saksama berlandaskan undang-undang, hendaklah direalisasikan secara bersama.

"Demikian jua seruan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta," kata baginda