Rohingya selamba ludah sisa sirih merata tempat

Rumah Pangsa Sri Bagan kini menjadi lokasi tumpuan pelarian Rohingya tinggal dan berlindung. Gambar kecil: Pengemis dalam kalangan kanak-kanak di hadapan sebuah bank di Butterworth.
Rumah Pangsa Sri Bagan kini menjadi lokasi tumpuan pelarian Rohingya tinggal dan berlindung. Gambar kecil: Pengemis dalam kalangan kanak-kanak di hadapan sebuah bank di Butterworth.
A
A
A

BUTTERWORTH - [EKSKUSIF] Kebanjiran pelarian Rohingya di kawasan Bagan Dalam di sini ternyata mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk tempatan.

Jumlah mereka juga dilaporkan semakin hari semakin bertambah, malah dianggarkan lebih kurang 5,000 etnik Rohingya telah bertapak dan menjadi kejiranan di Rumah Pangsa Sri Bagan dan Kampung Bagan Dalam di sini sejak lebih 13 tahun lalu.

Kehadiran mereka didakwa menjadi punca pelbagai masalah yang dihadapi penduduk tempatan terutama membabitkan aspek kebersihan dan keselamatan.

Penduduk, Mohamad Ismadi Mohamad Noor, 39, berkata, disebabkan komuniti mereka semakin ramai, ada dalam kalangan mereka semakin berani melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan penduduk tempatan.

Menurutnya, ada yang hidup mewah dan memiliki kereta serta motosikal sedangkan mereka berstatus pelarian di negara ini.

“Mereka sanggup menyewa beramai-ramai dalam rumah pangsa yang mempunyai dua bilik tidur. Mereka tidak kisah tidur berhimpit di ruang tamu yang sempit.

“Bila sudah ramai komuniti mereka di sini, mulalah ada yang nak tunjuk lagak dan tidak mempedulikan kebersihan dengan meludah sisa sirih merata-rata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Jelasnya, walaupun telah disediakan tempat untuk membuang sampah di bahagian bawah rumah pangsa terbabit, mereka enggan mengikuti peraturan dan sesuka hati membuang sampah termasuk dari tingkat atas.

Hanif
Hanif

Seorang lagi penduduk, Hanif Rosli, 32, berkata, golongan pelarian itu yang sudah memiliki kenderaan sendiri sering dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan orang lain.

Beliau berkata, mereka dipercayai tidak mempunyai lesen memandu, langsung tidak peduli undang-undang negara ini.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, sudah pasti tuntutan insurans tidak dapat dibuat atau boleh dikatakan sebagai ‘mati katak’.

“Pihak berkuasa tolong lakukan sesuatu termasuk halang kemasukan mereka ke kawasan kami. Cukuplah dengan jumlah yang sudah ada di sini,” katanya.

Wan Mohamad
Wan Mohamad

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kariah Masjd Jamek Bagan Dalam, Wan Mohammad Wan Abdullah berkata, walaupun keadaan masih lagi terkawal, namun sekiranya tiada tindakan diambil mungkin suatu hari nanti kawasan ini akan ditakluki mereka.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun menetap di kawasan itu mengakui suasana yang dahulu tenang kini semakin merimaskan termasuk terpaksa melayan pelbagai kerenah mereka.

“Bukan tidak ada yang bagus dan menghormati penduduk tempatan tetapi ada juga yang tak mahu bercampur dan hidup dengan kelompok mereka sendiri,” katanya.

Difahamkan pelarian etnik Rohingya di kawasan itu menyewa unit rumah pangsa antara RM350 hingga RM750 sebulan.

Melalui bancian dibuat penduduk, sebanyak 34 unit rumah flat 13 tingkat itu dihuni oleh komuniti pelarian Rohingya.

Selain itu, bancian turut mendapati lebih 30 keluarga pelarian Rohingya pula menyewa di 15 buah rumah di Kampung Bagan Dalam di sini.

SEPERTI TIADA PENYELESAIAN

Isu kebanjiran pelarian Rohingya di kawasan Bagan Dalam yang membelenggu penduduk tempatan sudah berulang kali dibangkitkan dan menjadi perhatian kerajaan negeri serta pihak berkuasa sebelum ini.

Beberapa operasi bersepadu telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan beberapa agensi lain.

Kedai makan yang diusahakan etnik Rohingya di Kampung Bagan Dalam.
Kedai makan yang diusahakan etnik Rohingya di Kampung Bagan Dalam.

Namun jumlah pelarian dari Myanmar itu kian bertambah dari hari ke hari, malah boleh dikatakan ada gerakan untuk menjadikan kawasan Bagan Dalam sebagai lokasi tumpuan kumpulan berkenaan.

Bagi mereka, kad yang dikeluarkan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) cukup kebal daripada dikenakan tindakan hingga membuatkan mereka ‘naik lemak’ dan bebas melakukan apa sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata, lebih parah apabila ada dalam kumpulan pendatang asing itu terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia dengan mempergunakan golongan wanita dan kanak-kanak untuk tujuan tertentu.

Menurutnya, beliau pernah berjumpa dengan gadis-gadis yang dibeli dari sempadan negara untuk dijadikan ‘isteri’ dan kanak-kanak dijadikan pengemis yang ditempatkan di depan bank sekitar kawasan itu untuk meraih simpati.

“Sebelum ini saya pernah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ambil tindakan dengan menangkap anak-anak tersebut dengan menggunakan Akta Kanak-Kanak. Sekiranya dibiar berlarutan, ia akan menjadi masalah sosial,” katanya.

Satees
Satees

Satees berkata, masalah semakin menjadi-jadi sebab tiada dasar suaka pelarian yang jelas di negara kita.

“Ada migran ekonomi yang menyalahgunakan status pelarian. Saya dapati di Bagan Dalam ini, mereka ada ‘kerajaan’ mereka sendiri yang lengkap dengan penghulu serta ketua kumpulan masing-masing.

“Saya dapat tahu ada sistem ‘cukai’ sendiri juga. Kerajaan perlu ada perbincangan dengan UNHCR untuk buat satu dasar suaka pelarian yang jelas supaya tidak ada lagi unsur-unsur pemerdagangan dan pemerasan manusia,” tambahnya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, tiada tindakan tegas oleh pihak berkuasa berkaitan menyebabkan golongan itu mula berani membuka empayar perniagaan termasuk kedai makan dan runcit di sekitar Bagan Dalam.

“Bukan kedai saja mereka buka, malah surau khas untuk komuniti mereka juga dibina walhal di Bagan Ajam telah mempunyai masjid untuk umat Islam melakukan amal ibadat,” katanya.

Pusat pengajian yang dibuka oleh kumpulan pelarian Rohingya dikatakan tidak mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa agama Pulau Pinang.
Pusat pengajian yang dibuka oleh kumpulan pelarian Rohingya dikatakan tidak mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa agama Pulau Pinang.

Beliau berkata, tindakan tegas dan segera perlu dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang termasuk isu membawa jenazah rakan senegara yang tinggal di kawasan lain untuk dikebumikan di tanah perkuburan di sini.

Jelasnya, isu tanah kubur yang terhad untuk umat Islam dan penduduk tempatan semakin meruncing, ditambah pula dengan kehadiran jenazah warga asing daripada golongan pelarian ini yang mahu dikebumikan di sini.