Lakukan kajian terperinci atasi banjir - Agong

Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan hadiah berupa alat tulis dan peralatan mewarna untuk kanak-kanak mangsa banjir yang berlindung di PPS di
Kampung Chedong pada Jumaat. - Foto: Bernama
Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan hadiah berupa alat tulis dan peralatan mewarna untuk kanak-kanak mangsa banjir yang berlindung di PPS di Kampung Chedong pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

MARAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan supaya melakukan kajian terperinci bagi mengurangkan risiko dan mengatasi banjir.

Seri Paduka bertitah, penyelesaian secara jangka pendek dan panjang seperti projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai yang semakin cetek adalah perlu kerana masalah banjir kini kerap berlaku.

"Kos (untuk melaksanakan projek mengatasi masalah banjir) boleh difikirkan kemudian tetapi kita kena mencari punca sebab selalu banjir, setiap tahun, setiap bulan.

"Ini juga tertakluk kepada sungai kecil dan longkang di bandar yang tidak diselenggara dengan baik... macam-macam sampah dilontar sewenang-wenangnya yang mungkin menjadi punca banjir," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Kampung Baru Sungai Chedong di sini pada Jumaat.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Raja, Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah menitahkan mereka yang diarah berpindah supaya segera mematuhi arahan itu, selain sentiasa peka dengan keselamatan ahli keluarga serta menjaga kebersihan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Seri Paduka yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana membantu mangsa banjir juga berharap bantuan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Raja Permaisuri Agong berkenan memasak untuk mangsa banjir yang berlindung di PPS di Kampung Chedong pada Jumaat. - Foto: Bernama
Raja Permaisuri Agong berkenan memasak untuk mangsa banjir yang berlindung di PPS di Kampung Chedong pada Jumaat. - Foto: Bernama

Semasa kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai, barangan makanan dan kelengkapan penjagaan diri kepada mangsa banjir di Sungai Chedong dan PPS Dewan Arena YAM Tengku Muda di sini.

Banjir di Pahang bermula pada Rabu lepas susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air sungai melimpah di daerah Raub, Jerantut, Maran, Pekan, Bera, Temerloh dan Rompin. Bagaimanapun banjir di Raub dan Jerantut pulih pada Jumaat.

Sementara itu, penerima sumbangan, Mohd Sulaiman Abdul Shukor, 39, terharu dengan keprihatinan Seri Paduka yang bertanya khabar mengenai kaki kanannya yang dipotong sehingga paras lutut akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lepas.

Dia yang berpindah ke PPS Kampung Baru Sungai Chedong sejak Rabu lepas berkata bantuan diterimanya amat membantu mengurangkan beban kewangannya setelah kini tidak bekerja akibat kemalangan itu.

"Dahulu saya membantu orang menjual ikan di pasar, jadi pendapatan dan simpanan memang tidak banyak," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!