Sektor perhotelan kekurangan pekerja

Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta berdisiplin antara sebab sesetengah majikan terutama dalam sektor perhotelan lebih gemar merekrut pekerja asing berbanding warga tempatan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Isaac Raj berkata, meskipun ditawarkan gaji yang tinggi, masih ramai rakyat Malaysia terutama generasi muda yang menolak untuk bekerja di sektor berkenaan.

“Macam yang kita tahu, kerja dalam industri perhotelan tugas berat seperti pembersihan dan pengemasan di bilik hotel serta penyediaan makanan. Jadi, ramai antara generasi muda kurang berminat melakukan kerja sedemikian.

“Kerja dalam bidang ini juga ada masanya sukar untuk mendapatkan cuti terutama pada hujung minggu dan musim perayaan kerana pada masa itu pihak hotel menerima tempahan yang tinggi dan memerlukan kakitangan yang ramai dan mencukupi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menambah, faktor tersebut menyebabkan kebanyakan daripada generasi muda tempatan ‘menarik diri’ untuk terjun ke dalam bidang berkenaan dan beralih kepada sektor lain yang menawarkan pelepasan dan cuti lebih fleksibel.

Jelas Isaac, perkara itu sebaliknya berlaku jika mereka menggajikan pekerja asing yang sentiasa bersedia melaksanakan tugasan tanpa kira masa dan bebanan kerja.

“Warga asing ini kebanyakan antara mereka boleh bekerja dalam dua syif satu hari, dalam erti kata lain lebih daripada 12 jam kerja pun mereka sanggup buat.

“Kerja pada hari cuti pun mereka tiada masalah kerana rata-rata tiada keluarga di sini berbanding pekerja warga tempatan dan mereka pun memang bersungguh-sungguh nak kerja. Sebab itulah, hotel di Langkawi dan Port Dickson sudah terdapat kakitangan mereka yang merupakan warga asing,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan, pendapatan mereka yang bekerja di industri pelancongan itu tidaklah rendah bahkan ia mengimbangi isu kos sara hidup yang kian meningkat kini.

“Gaji pun kita dah selaraskan paling minimum adalah RM1,500 ditambah pula dengan kerja lebih masa memang lebih daripada RM2,000 mereka boleh dapat. Cuma kerja ini soalnya mereka mampu atau tidak untuk buat,” jelasnya.

Isaac berkata, individu yang menceburi bidang perhotelan akan mendapat latihan dan tunjuk ajar sekali gus memberi peluang kenaikan karier kepada mereka.