Agensi umrah sukar dapat tiket penerbangan, penginapan

Antara jemaah- jemaah umrah kelolaan EMRAZ Travel & Tours yang masih berada Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.
Antara jemaah- jemaah umrah kelolaan EMRAZ Travel & Tours yang masih berada Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesukaran mendapatkan tiket penerbangan serta tempat penginapan di Makkah dan Madinah merupakan cabaran baharu bagi syarikat-syarikat pengendali umrah.

Menurut EMRAZ Travel & Tours dalam satu kenyataan, pemilik-pemilik hotel di sana enggan menunaikan janji meskipun pihak syarikat telah membuat bayaran penuh kerana mendakwa mereka mendapat tawaran lebih baik.

Menurut kenyataan itu, pada ketika itu berlaku pertembungan cuti persekolahan di Arab Saudi yang bermula 2 hingga 11 Mac 2023 dan cuti persekolahan di Malaysia menyebabkan ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah umrah sehingga bilik yang ditempah lebih awal tidak diperoleh.

"Ia merupakan kali pertama keadaan seumpama ini berlaku. Terdapat juga situasi di mana ketika kami mempunyai tiket penerbangan tetapi ketiadaan tempat penginapan dan begitu juga sebaliknya.

"Selain itu, pihak hotel di sana juga gemar menaikkan harga bilik sewenang- wenangnya di saat-saat akhir," jelas kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan tersebut, bagaimanapun pihaknya sentiasa berpegang pada janji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah.

"Kami mengambil pelbagai alternatif antaranya menyediakan tiket penerbangan secara transit.

"Malah, ada juga jemaah dinaik taraf pakej umrah mereka kepada umrah ziarah melibatkan penerbangan transit di Dubai dan Riyadh sekali gus dapat melancong secara percuma di sana.

"Selain itu, EMRAZ turut menaik taraf hotel penginapan dan penerbangan ke kelas perniagaan tanpa mengenakan sebarang kos tambahan bagi keselesaan jemaah, " jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat bakal jemaah umrah meluahkan perasaan marah, kecewa dan sedih apabila gagal 'diterbangkan' oleh agensi umrah dan pelancongan seperti yang dijanjikan.