KPDN mohon insentif untuk pengusaha Menu Rahmah

Salahuddin (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Khamis.
Salahuddin (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memohon kepada kerajaan untuk memberikan insentif kepada pengusaha Menu Rahmah di negara ini yang menjayakan usaha tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau memanjangkan permohonan tersebut kepada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam masa terdekat.

"Bagi pihak KPDN, Menu Rahmah ini kerajaan atau kementerian tidak berbelanja walaupun satu sen.

"Ia lebih kepada penyertaan sukarela kepada inisiatif murni ini. Namun begitu, dalam belanjawan baru-baru ini satu bajet berjumlah RM720 juta diberi kepada menteri ekonomi dalam pelbagai inisiatif bagi membantu golongan B40 dan mereka yang memerlukan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh di sini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail dan Pengasas Al Khalish Group, Hassan Saifuddin.

Menurut beliau, dengan bajet itu mungkin pengusaha Menu Rahmah akan mendapat inisiatif ataupun apa-apa panduan khusus untuk diberi bimbingan.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, sebanyak 1,142 premis makanan di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah.

Ujarnya, di Kelantan terdapat 61 premis dan dijangka jumlah tersebut akan terus bertambah.