[VIDEO] Buruh binaan curi seluar dalam wanita didenda RM2,400

Liew Chee Hong, 45, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.
Liew Chee Hong, 45, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang buruh binaan didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku salah mencuri dua helai seluar dalam wanita minggu lalu.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah memerintahkan tertuduh Liew Chee Hong, 45, dihukum penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Chee Hong dituduh mencuri dua seluar dalam berwarna merah jambu dan hitam milik seorang wanita berusia 23 tahun secara tanpa izin di Jalan Mahogani, Bandar Sri Damansara pada jam 6 petang, 23 Februari.

Pertuduhan dibuat Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tiada pendapatan tetap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga tempatan ditahan polis kerana menceroboh dan mencuri seluar dalam wanita di sebuah rumah di daerah ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan satu tangkapan dibuat sekitar jam 8.27 malam pada hari sama.