Mayat kanak-kanak lemas ditemui

Anggota bomba membantu membawa naik mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Anggota bomba membantu membawa naik mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

PEKAN - Mayat kanak-kanak yang lemas di sungai Kampung Sri Makmur, Chini di sini ditemui pada Khamis.

Mangsa, Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, ditemui pada jam 12.10 tengah hari kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari.

"Mangsa dilaporkan lemas pada Rabu sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak bomba pada jam 2.49 petang hari berkenaan.

"Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian sebelum operasi SAR digerakkan dengan bantuan penduduk kampung," katanya.

Wan Samsul Effendi berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan dua ekor anjing pengesan K9 bomba turut membantu dalam operasi itu.

"Operasi SAR ditangguhkan jam 11 malam pada Rabu dan disambung semula pada pagi Khamis sebelum mayat mangsa berjaya ditemui," katanya.