Polis terima 42 laporan berkait penipuan skim pelaburan saham

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 42 laporan berhubung skim penipuan pelaburan berasaskan pembelian saham yang membabitkan kerugian berjumlah RM6.7 juta.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menjalankan siasatan mendapati skim pelaburan itu dipercayai aktif sejak penghujung tahun lalu.

Menurutnya, pelabur yang berminat untuk menyertai skim ini akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.

"Pelabur kemudiannya diminta untuk mendaftar dan membeli saham yang ditawarkan melalui sebuah laman sesawang.

"Bagi tujuan pembayaran, pelabur diminta membuat pindahan wang ke beberapa akaun syarikat yang berbeza.

"Laman sesawang skim pelaburan itu tidak lagi aktif sejak Februari lalu dan pelabur tidak dapat mengeluarkan wang yang telah dilaburkan," katanya melalui kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, polis menggesa mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket ini untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia dan Security Commission sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.