Arsenal lebarkan status pendahulu liga

Saka dan Martinelli memastikan Arsenal kekal unggul memimpin liga. - Foto Agensi
Saka dan Martinelli memastikan Arsenal kekal unggul memimpin liga. - Foto Agensi
A
A
A

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Arsenal menyalakan kembali pemburuan kejuaraan dengan lima mata selepas membelasah Everton 4-0 dalam perlawanan di Stadium Emirates pada Khamis.

Pada awal perlawanan The Gunners kendalian Mikel Arteta ternyata bergelut untuk merobek kedegilan gawang armada The Toffees pimpinan Sean Dyche.

Namun kekebalan benteng pelawat akhirnya roboh hasil jaringan Bukayo Saka pada minit ke-40, sebelum penyudah minit ke-46, Gabriel Martinelli memastikan tuan rumah memimpin perlawanan separuh masa pertama.

Kapten Arsenal, Martin Odegaard kemudian menjadikan kedudukan 3-0 apabila menterjemahkan penyudah jarak dekat pada minit ke-71 sebelum Martinelli menjaringkan gol kedua peribadinya di minit ke-71 untuk melengkapkan kemenangan bergaya gergasi utara London itu.

Kemenangan ketiga berturut-turut sejak tewas di tempat sendiri kepada Manchester City menyaksikan Arsenal mengumpul 60 mata setelah mengharungi 25 perlawanan sambil diekori rapat City dengan 55 mata.

Sementara itu, Everton yang hanya meraih satu kemenangan daripada 27 kunjungan liga terakhir ke Arsenal, pada awalnya mampu membawa pulang sesuatu dari London.

Namun dua gol penghujung babak pertama menenggelamkan cabaran pelawat untuk kekalahan liga ke-14 musim ini seterusnya kekal di tempat ketiga dari bawah dengan 21 mata.

Sementara itu, Liverpool kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Wolverhampton 2-0 di Stadium Anfield hasil jaringan Virgil van Dijk minit ke-73 dan Mohamed Salah minit ke-77.

Tiga mata di laman keramat Liverpool itu membolehkan kelab Merseyside tersebut berada di kelompok enam liga dengan 39 mata selepas menewaskan mengharungi 24 perlawanan.

LIGA PERDANA INGGERIS

Keputusan

Arsenal 4-0 Everton

Liverpool 2- 0 Wolverhampton