Pemain Perak kena lebih tenang depan gawang

Kesebelasan Perak ketika berdepan PDRM di Stadium MBPJ, pada Selasa. - Foto Facebook Perak Football Club
Kesebelasan Perak ketika berdepan PDRM di Stadium MBPJ, pada Selasa. - Foto Facebook Perak Football Club
A
A
A

PEMAIN Perak FC khasnya bahagian penyudah dinasihati lebih tenang bagi menterjemahkan setiap percubaan di depan gawang gol dalam bentuk jaringan pada masa depan.

Itu luahan pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim setelah menyaksikan The Bos Guarus mengutip satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.

“Setiap mata adalah penting terutama di tempat lawan dan satu mata lebih penting daripada kehilangan tiga mata.

“Kami hanya perlu menjaringkan gol selepas mencipta peluang, namun gagal menjaringkan gol. Itu sahaja masalah kami setakat ini.

“Pengalaman bukan punca tetapi mungkin mereka terlalu ghairah dan tidak tenang di depan gawang kerana mereka masih muda,” kata Teong Kim semasa sidang media selepas perlawanan.

Perak dijadualkan berdepan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu ini.

Mengulas persiapan menjelang kunjungan ke Kota Bahru, Teong Kim berkata, “Untuk perlawanan akan datang, pemain yang digantung akan kembali membantu pasukan.

"Ia akan beri lebih banyak pilihan kepada saya manakala penyerang import kami Christian Obiozor pula baru pulih dari kecederaan akan membantu pasukan selepas ini,” katanya.