Lans koperal luka di dahi, patah tulang kiri kepala ditetak

Mohd Shuhaily menunjukkan gambar mangsa yang cedera pada sidang media di HPP pada Rabu.
Mohd Shuhaily menunjukkan gambar mangsa yang cedera pada sidang media di HPP pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengalami luka di kepala selain patah tulang di bahagian kiri kepalanya selepas ditetak seorang lelaki di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di sini pada 11.30 malam, Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia 29 tahun mengalami luka torehan sepanjang sembilan sentimeter di dahi dan enam sentimeter di bahagian belakang selain mengalami patah pada tulang kepala sebelah kiri.

Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan stabil.

"Kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam sedang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) bersama beberapa anggota lain.

"Mangsa dan rakannya ternampak seorang penunggang motosikal melakukan pusingan U berdekatan SJR tersebut lalu mengekori suspek.

"Suspek berjaya ditahan dalam jarak 150 meter dan mengaku tidak mempunyai lesen memandu menyebabkan dia melakukan pusingan U," katanya selepas melawat mangsa di HPP di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, ketika mangsa dan rakannya hendak membuat pemeriksaan ke atas motosikal suspek, suspek telah melakukan provokasi menyebabkan berlaku pergelutan.

"Suspek kemudiannya mengambil sebilah pisau dari atas meja salah sebuah rumah teres berhampiran lalu menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas motosikal terbabit mendapati ia didaftarkan atas seorang lelaki yang sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal menjumpai satu plastik hitam yang mengandungi 30 peket plastik lut sinar mengandungi ketulan dan serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin (anggaran berat 210 gram).

"Turut dijumpai satu dompet yang mengandungi sekeping surat jamin polis atas nama suspek melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Susulan daripada itu, Mohd Shuhaily berkata, suspek yang berusia 33 tahun berjaya ditahan pada jam 3.40 pagi, Rabu di kawasan Kondominium Sri Kristal.

"Polis berjaya merampas pisau pemotong daging. Permohonan reman akan dibuat dan suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

"Suspek berasal dari Bagan Serai, Perak mempunyai empat rekod dadah. Ujian saringan air kencingnya juga positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya