Pereka hiasan dalaman didakwa hina Agong

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang pereka hiasan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan termasuk pilihan, mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, melalui Instagram miliknya, November tahun lalu.

William Khor Wai Loon, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan utama, dia didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut dengan kecenderungan menghina Yang di-Pertuan Agong, di sebuah rumah, di Taman Bukit Teratai, di sini pada jam 3.31 pagi, 20 November 2022 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi Instagram, menggunakan nama profil 'williamkhor87' pada jam dan tarikh sama, kemudian ia telah dibaca, keesokan hari di lokasi serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

"Pendakwaan juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

"Bapanya berusia 64 tahun mempunyai masalah kesihatan mata dan telinga sementara ibunya, 62 tahun merupakan pesakit kanser," katanya.

Mendengar perkara itu, Wan Mohd Norishan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 April depan untuk sebutan serahan dokumen.

Pada 22 November tahun lalu, Polis Selangor menahan seorang lelaki tempatan dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, seorang suspek ditahan selepas pihaknya bertindak atas satu laporan polis yang dibuat seorang individu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.52 malam, berkaitan rakaman video berdurasi 15 saat itu.