PN terbuka terima Annuar Musa

Laporan Sinar Harian pada Isnin dan Abdul Hadi
Laporan Sinar Harian pada Isnin dan Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) secara terbuka mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyertai parti tersebut.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu merupakan seorang pemimpin yang berwibawa.

“Beliau pemimpin yang berwibawa, yang boleh membaca politik tanah air. Beliau akan buat keputusan sendiri. Kita alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Dialog Ulama Negarawan sempena Pelancaran Buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Annuar berkata, beliau sedang memilih dan bersedia menyertai mana-mana parti politik yang sesuai dengan perjuangannya selepas hampir tiga bulan dipecat daripada UMNO.

Menurut Annuar, tempoh tiga bulan tidak berparti itu digunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

Selain itu, mengulas mengenai perkembangan PN, Abdul Hadi berkata, gabungan itu ketika ini menunjukkan perkembangan yang positif sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ada sebahagian UMNO turut menyertai PN. Hasilnya, kita dapat sebuah negeri Perlis. Kita mara di Pahang dan Perak.

“Dan perkembangan positif akan berlaku apabila UMNO bertindak secara tidak siuman terhadap pimpinan dia sendiri,” ujarnya.