[VIDEO] 'Nasi lemak naik harga, tapi gaji tak naik' - DDNK

Nazri ketika menjadi panelis Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi sebagai moderator pada malam Selasa.
Nazri ketika menjadi panelis Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi sebagai moderator pada malam Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan meminta kerajaan menilai semula kadar gaji minimum di negara ini yang didakwa tidak sepadan dengan kenaikan harga barang hingga membebankan rakyat.

Nazri atau lebih dikenali sebagai DDNK berkata, biarpun harga barang naik namun gaji pekerja bawahan masih lagi pada kadar yang sama.

"Nasi lemak pun naik harga, kalau di Shah Alam nasi lemak RM3, telur potong 16 tetapi kenapa gaji kita tak naik dua kali ganda? Itu persoalannya. Perkara itu yang selalu makcik-makcik, pakcik-pakcik dan rakyat marhaen tanya.

''Walaupun kerajaan lazimnya beritahu gambaran yang baik dari segi ekonomi. Contohnya bila cakap tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 5, 6 peratus tapi akhirnya adakah orang bawah dapat merasa?," soalnya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi selaku moderator yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Selasa.

Nazri (kanan) bergandingan bersama Azli (tengah) pada Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi sebagai moderator pada malam Selasa.
Nazri (kanan) bergandingan bersama Azli (tengah) pada Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi sebagai moderator pada malam Selasa.

Turut bergandingan bersama beliau selaku panelis adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, rakyat bawahan selalu mempertikaikan data dan angka yang diberikan kerajaan kerana mereka tidak menikmati kesan ekonomi seperti dimaklumkan.

"Bagi saya pertama sekali kita (kerajaan) kena jaga gaji orang bawah dan produktiviti. Penggunaan teknologi itu kemudianlah," ujarnya.

Menurutnya, untuk membantu rakyat, pelaksanaan setiap perancangan kerajaan perlu dilakukan dengan jitu dan berkesan.

Tegas Nazri, Malaysia juga perlu mempunyai acuan yang jelas dari segi hala tuju ekonomi agar tidak terus terjerat dalam perangkap negara berpendapatan pertengahan.

"Sekarang masih tak ada acuan yang jelas daripada menteri-menteri tentang hala tuju ekonomi Malaysia dan negara mana yang menjadi model untuk dicontohi," ulasnya.