RM17 juta tubuh pusat aktiviti warga emas

Wan Azizah menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu untuk tempoh 2018 hingga 2023, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata peruntukan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menubuhkan pusat berkenaan di setiap kawasan parlimen dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Peruntukan itu termasuk RM5 juta yang diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini bagi menubuhkan sekurang-kurangnya 45 buah PAWE, sekaligus menjadikan sebanyak 133 PAWE pada akhir tahun ini iaitu meliputi 60 peratus sasaran PAWE di kawasan Parlimen.

“Kementerian sentiasa memastikan penubuhan PAWE mengambil kira keperluan warga emas di komuniti, bilangan atau populasi warga emas, premis yang bersesuaian dan mudah diakses sama ada di kawasan perumahan atau di mana-mana lokasi yang menepati kriteria tersebut,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjawab soalan Senator Aknan Ehtook yang bertanyakan mengenai bilangan warga emas di setiap PAWE dari 2014 hingga 2018 pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata program itu mendapat maklum balas positif daripada warga emas dengan pertambahan bilangan yang mendaftar untuk menyertai program itu saban tahun iaitu seramai 27,059 orang (2014), 32,617 orang (2015), 31,615 orang (2016), 34,764 orang (2017) dan 38,627 orang (2018).

“Berdasarkan kepada Laporan Penilaian Outcome PAWE 2016 yang telah dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan melibatkan seramai 702 orang warga emas dari 45 buah PAWE, mendapati bahawa 97.4 peratus warga emas yang mengikuti aktiviti di PAWE berpuas hati dengan aktiviti yang disediakan.

“Warga emas juga dapat melakukan pelbagai aktiviti di PAWE mengikut kesesuaian mereka seperti rekreasi, pemeriksaan kesihatan, terapi pemulihan, keagamaan, latihan, sukan dan senaman yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, 97.4 peratus daripada mereka juga merasakan aktiviti di pusat itu dapat menghilangkan rasa kesunyian dan mengurangkan rasa kemurungan, 96.5 peratus berasa bahagia dan 95.9 peratus daripada mereka juga merasakan PAWE dapat meningkatkan potensi dan bakat mereka. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia