Jangan jadikan politik untuk adu domba, bermusuhan - Anwar

Anwar (tengah) beramah mesra bersama para penjawat awam sewaktu tiba pada majlis amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam negeri dan Persekutuan. -Foto Bernama
Anwar (tengah) beramah mesra bersama para penjawat awam sewaktu tiba pada majlis amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam negeri dan Persekutuan. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan politik sebagai tempat untuk bermusuhan.

Beliau turut meminta supaya jangan memandang ringan mengenai soal pimpinan negara dengan mencetuskan pergaduhan sehingga mengenepikan kepentingan negeri.

"Malaysia sudah dapat tarikan semula (pelaburan), syaratnya kita faham keperluan masa depan kita. Jaga negeri ini baik-baik dan jangan jadikan politik itu tempat adu domba, permusuhan yang tidak berkesudahan.

"Ada mandat sekarang, gunakan sekarang, gunakan mandat itu jaga negeri ini dan pimpinan dipilih itu pegang amanah, bukan untuk khianati amanah," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan ketika ini bukan masanya untuk bertengkar dan sepatutnya tunggu pada pilihan raya akan datang.

"Kalau rasa nak bertarung, tunggu masa pilihan raya untuk bertarung. Sekarang bukan masanya untuk bertarung, sekarang masa untuk menjalankan amanah mentadbir negeri menjaga keamanan dan mengangkat martabat negeri dan rakyat," katanya.