FAM teliti 'suara' Bojan

Laporan Sukan Sinar pada Selasa.
Laporan Sukan Sinar pada Selasa.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa bersikap terbuka dengan sebarang pandangan berkaitan isu pengadil demi kebaikan arena bola sepak negara.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata, pandangan boleh dikemukakan mengikut saluran yang betul menerusi Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil.

“Kalau rasa tak puas hati dengan pengadil, kena salurkan. FAM terbuka salurkan terus kepada kita.

“Kita ada jawatankuasa yang boleh menguruskan hal tersebut. Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil untuk menilai semua laporan,” katanya kepada media di Wisma FAM Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Selasa.

Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak sebelum ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang menyaksikan pasukannya berkongsi mata apabila melakar keputusan seri 2-2 berdepan Penang FC dalam aksi Liga Super 2023 di Cheras pada Sabtu.

Menurut Noor Azman, FAM sudah menerima laporan rasmi daripada KL City pada Isnin.

Noor Azman (depan, kiri) dan Murugeson bersalaman sempena majlis menandatangani perjanjian penajaan jersi Puma buat skuad Projek FAM-MSN di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Selasa. - Foto FAM
Noor Azman (depan, kiri) dan Murugeson bersalaman sempena majlis menandatangani perjanjian penajaan jersi Puma buat skuad Projek FAM-MSN di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Selasa. - Foto FAM

Katanya, Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil giat meneliti laporan tersebut dan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

“Sudah terima laporan semalam (Isnin) sekali dengan video. Esok (Rabu) atau lusa jawatankuasa akan bentang,” katanya.

Mengulas sama ada beliau membaca laporan tersebut, Noor Azman menyerahkan kepada jawatankuasa tersebut.

“Hujah itu kita kena beri kepada yang pakar untuk menilai. Tak boleh komen, biar pakar yang menilainya,” katanya.

Menyentuh kemungkinan tindakan ke atas Hodak, beliau berkata, ia bergantung kepada laporan itu kelak.

“Belum tahu lagi, tunggu laporan,” katanya.

Sebelum itu, Noor Azman mewakili FAM menandatangani perjanjian penajaan jersi Puma menerusi Active Sports untuk skuad Projek FAM-MSN (SPFM).

Sementara itu, Puma pula diwakili Pengurus Active Sports, S Murugeson.