Piala MFL: SPFM enggan jadi 'ladang tuaian' tiga mata

Mohd Joehari (kiri) bersalaman dengan para pemain sambil diperhatikan Noor Zaidi (dua dari kiri) pada majlis menandatangani penajaan jersi Puma buat skuad FAM-MSN. - Foto Facebook FAM
Mohd Joehari (kiri) bersalaman dengan para pemain sambil diperhatikan Noor Zaidi (dua dari kiri) pada majlis menandatangani penajaan jersi Puma buat skuad FAM-MSN. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Projek FAM-MSN (SPFM) enggan lagi menjadi 'ladang tuaian' tiga mata kepada mana-mana pasukan menjelang sepak mula saingan Liga Simpanan Bawah 23 tahun (B-23) bagi merebut Piala MFL pada Khamis.

Sebaliknya pasukan yang dibarisi 70 peratus muka baharu itu sedia menggegar pentas Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jurulatihnya, Noor Zaidi Rohmat optimis anak-anak buahnya mampu memberi saingan sengit kepada skuad B-23 daripada kelab Liga Super.

“Mereka perlu bersaing dengan lawan senior dan pemain import. Pemain sudah bersedia berdepan perlawanan yang lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani penajaan jersi Puma Active Sports di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Selasa.

Menurut Noor Zaidi, pasukannya sudah membuat persiapan termasuk mengadakan beberapa aksi persahabatan di utara tanah air bagi membentuk persefahaman dalam kalangan pemain.

“Selepas dilantik sebagai jurulatih SPFM, perkara penting adalah meneruskan kesinambungan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi musim 2023.

“Secara keseluruhan daripada segi taktikal perlu dipertingkat. Kemampuan pula tidak banyak beza dengan pasukan lain,” katanya.

Skuad SPFM pada dua musim lalu menjadi mangsa belasahan pasukan di Liga Premier apabila sekadar menang dua aksi pada edisi 2022 dan sekali menang pada 2021.

Ia mengundang kritikan penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air yang menilai skuad tersebut sebagai lubuk mengutip tiga mata.

Bagaimanapun pengurus pasukan, Mohd Joehari Mohd Ayub menepis kritikan itu dengan memberitahu, skuad muda tersebut laris di pasaran.

Malah ada dalam kalangan mereka dilamar kelab besar termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan skuad B-23 negara.

“Sasaran kita pada musim ini ialah untuk terus memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan dalam kancah liga tempatan.

“Tujuan penubuhan skuad ini adalah untuk membangunkan pemain agar mereka boleh pergi jauh termasuk dipilih menyertai skuad Harimau Malaya,” katanya.