MP diberi amaran jangan ganggu perbahasan tanpa sebab

Semua ahli Parlimen diingatkan agar tidak membuat gangguan tanpa sebab ketika ahli Dewan Rakyat lain sedang berbahas.- Foto Bernama.
Semua ahli Parlimen diingatkan agar tidak membuat gangguan tanpa sebab ketika ahli Dewan Rakyat lain sedang berbahas.- Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua ahli Parlimen diingatkan agar tidak membuat gangguan tanpa sebab ketika ahli Dewan Rakyat lain sedang berbahas.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, tindakan boleh diambil di bawah Peraturan Mesyuarat 37 (2) sekiranya gagal mematuhi arahan ditetapkan.

“Peraturan (Dewan Rakyat) adalah jelas, Yang Berhormat semua (dengar) saya ambil kira 35 (1) dan akhirnya 37 (2). Keputusan saya suruh duduk adalah berdasarkan kepada 37 (2).

“Jika ada gangguan lagi sekali saya beri amaran yang pertama, sesiapa ahli Parlimen yang mengganggu tanpa sebab saya beri amaran yang pertama,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Amaran Ramli itu dibuat susulan tindakan RSN Rayer (PH-Jelutong) beberapa kali bangkit mencelah ketika sesi Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (PN-Bukit Gantang) membahaskan Belanjawan 2023.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah merendahkan tahap pendidikan golongan muda.

“Semasa saya pulang ke kawasan, anak-anak muda telah datang berjumpa saya dan menyatakan rasa marah, tidak puas hati kerana Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri telah merendah-rendahkan tahap pendidikan dan tangga gaji mereka,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) supaya tindakan diambil ke atas Syed Abu Hussin kerana mengeluarkan kenyataan bersangka jahat terhadap ahli Dewan Rakyat lain.

Bagaimanapun Ramli menolak perkara tersebut dan meminta Rayer mengemukakan usul sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.