STAR ditubuh atasi kesesakan di hospital kerajaan

Fadillah ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Fadillah ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) untuk menerajui inisiatif mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa siri perbincangan dengan pihak berkepentingan turut dilaksanakan bagi memastikan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat dilaksanakan.

“Siri perbincangan sedang dijalankan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Perkhidmatan Awam bersama-sama dengan pihak pengamal perubatan swasta.

“Selain itu, terdapat juga beberapa cadangan penambahbaikan oleh pasukan ini antaranya pelanjutan waktu operasi klinik kesihatan awam dan semua pesakit rawatan luar akan dikendalikan oleh klinik kesihatan awam dan klinik kesihatan swasta yang telah dipilih oleh KKM,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Oscar Ling (PH-Sibu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara termasuklah mengatasi masalah kesesakan di hospital.

Tambahnya, antara syor lain ialah perkongsian peralatan perubatan diantara hospital kerajaan dan swasta akan dilaksanakan melalui bayaran dengan kadar yang lebih adil dan kempetitif oleh kerajaan.

“Kerjasama lain ialah kerjasama di antara awam dan swasta melalui penyediaan perkhidmatan rawatan perubatan seperti pembedahan kecil dan rawatan penyakit berisiko rendah kepada pesakit bagi pihak hospital kerajaan berdasarkan harga yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.

“Kesihatan rakyat merupakan kunci utama untuk Malaysia mencapai objektif pembangunan ekonomi yang lestari dan masyarakat yang lebih mampan.

“Ketika ini, majoriti pesakit yang hadir ke hospital kerajaan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan bawahan,” katanya.

Ujarnya, sehingga tahun 2022, jumlah keseluruhan bilangan hospital dalam negara adalah sebanyak 355 buah iaitu 209 hospital swasta dan 146 hospital kerajaan manakala jumlah klinik adalah 11,577 buah iaitu 8,419 klinik kesihatan swasta dan 3,158 klinik kesihatan kerajaan.