Warga emas meninggal dunia selepas sejam dirawat

Motosikal ditunggang mangsa terlibat kemalangan di Kilometer 1 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Jalan Persiaran Raya, Gua Musang.
Motosikal ditunggang mangsa terlibat kemalangan di Kilometer 1 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Jalan Persiaran Raya, Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas disahkan meninggal dunia kira-kira sejam selepas menerima rawatan akibat kemalangan di Kilometer 1 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Jalan Persiaran Raya, Gua Musang pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang ketika mangsa yang berusia 68 tahun dalam perjalanan dari arah bandar Gua Musang menghala ke Jalan Kuala Lipis.

Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda bersendirian secara tiba-tiba mengubah laluan ke lorong sebelah kanan untuk membuat pusingan U.

"Akibatnya, motosikal mangsa bergesel dengan kereta Honda yang berada di laluan sama.

"Kejadian itu mengakibatkan warga emas berkenaan cedera parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 099121222 atau pegawai penyiasat di talian 017-2830392.